fb fb fb fb fb

Para SUKMA 2024 labuhkan tirai, catat 31 rekod baharu

Mohd Zarrawi Ravi Abdullah

KUCHING, 27 September- Temasya Para SUKMA 2024 di Sarawak melabuhkan tirai hari ini di Stadium Sarawak menyaksikan 31 rekod baharu kejohanan direkodkan.

Presiden Persatuan Olahraga Para Malaysia (POPM), Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata, rekod baharu itu adalah daripada 131 acara dipertandingkan.

"Kira-kira 17 atlet lelaki dan tujuh atlet perempuan mencipta 31 rekod kejohanan kali ini. Ia merupakan petanda yang cukup baik untuk kita," katanya dalam sidang media di sini.

Mohd Zarrawi juga memaklumkan pada temasya kali ini menyaksikan beberapa negeri memonopoli pingat dalam beberapa acara.

Pencapaian itu dilihat menerusi 36 kutipan emas yang diperoleh Sabah, diikuti Sarawak yang memungut 33 pingat emas dan Johor (14 pingat emas).

Malah edisi kali ini turut melakar sejarah tersendiri apabila setiap negeri meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas.

Dalam pada itu penyertaan atlet wanita pada temasya berkenaan menunjukkan peningkatan positif dengan penyertaan 87 atlet.

Seramai tujuh atlet wanita juga melakar rekod baharu dan ia disifatkan satu pencapaian membanggakan.

Ia termasuk atlet muda, Kaseh Raudah Mohd Shah, 14 tahun dari Johor yang berjaya mencipta rekod baharu dalam acara 800 meter Wanita T20 dengan catatan 2 minit 41 saat.

Atlet tersebut antara yang mempunyai masa depan cerah dan bakal diserap ke program-program sesuai untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Pada masa sama POPM telah mengenal pasti beberapa atlet baharu dari temasya Para SUKMA 2024 yang berpotensi untuk digilap ke program podium.

Mohd Zarrawi berkata, ia juga sebagai persiapan kem olahraga bagi Sukan Para Asean tahun depan di Thailand.

"Jadi mereka yang berjaya memecahkan rekod dan mencapai banyak kejayaan kita akan serap ke program Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI