fb fb fb fb fb

Para Sukma MSN: Acara renang cipta 4 rekod baharu kebangsaan

KUALA LUMPUR, 4 November - Empat rekod kebangsaan dan dua rekod kejohanan berjaya diperbaharui dalam acara renang di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil hari ini.

Dua atlet Sarawak, Rusdianto Rusmadi dan Galang Jabai berjaya merangkul pingat emas serta memperbaharui rekod kebangsaan.

Rusdianto yang beraksi dalam acara 100 meter Kuak Lentang Lelaki S7 dan S8 mencatat masa satu minit 25.35 saat, memecahkan rekod lama iaitu satu minit 25.91 saat yang dipegang James Wong Tien Yu.

"Kemenangan ini bukan sahaja untuk jurulatih saya, tetapi untuk keluarga dan kawan-kawan saya, penyokong yang selalu sokong saya dari belakang dan khususnya untuk orang Sarawak," kata Rusdianto.

(Rusdianto Rusmadi pecah rekod kebangsaan dalam acara renang hari ini)

Sementara itu, renangan bertenaga atlet Selangor, Nik Muhd Joe Asyraff Nik Rafizal menyaksikannya meraih pingat emas 200 meter lelaki gaya bebas S14 dengan catatan masa dua minit 14.36 saat yang merupakan rekod baharu kejohanan.

Menurut Nik, dia amat berpuas hati apabila komitmen yang diberikannya membuahkan hasil.

Dua lagi rekod kebangsaan dicatat perenang Sabah, Abd Halim Mohammad dalam acara 100 meter Gaya Bebas Lelaki S8 manakala Mohd Sharizal Abdul Aziz pula dalam acara 50 meter Kuak Dada Lelaki SB4.

Sementara itu, Aleeya Fariesya Faizul Rizal berjaya memperbaharui rekod kejohanan dalam dalam acara 50 meter Kuak Dada Perempuan SB14 untuk menyumbang dua pingat emas buat kontinjen Negeri Sembilan.

Media Baharu