fb fb fb fb fb

Para SUKMA 2024, Sarawak sasar gelaran juara keseluruhan kali ke-14

Foto RTM

KUCHING, 14 Jun- Misi kontinjen Para Sukan Malaysia (SUKMA 2024) Sarawak adalah untuk merebut kembali takhta juara keseluruhan kali ke-14, dengan sasaran pungutan 83 pingat emas.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah memberitahu misi tersebut dapat dicapai melalui pungutan pingat emas dalam acara olahraga dan renang yang mempunyai banyak kategori.

Beliau memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas pelancaran Majlis Kiraan Detik 100 Hari Para Sukma ke 21 Sarawak 2024 di Kuching, hari ini.

Sebanyak 334 acara bagi 10 jenis sukan akan dipertandingkan pada sukan kali ini dan ia merupakan peluang kepada tuan rumah untuk menebus kekalahan kepada kontinjen Sabah pada temasya di Kuala Lumpur 2022.

Dalam pada itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian memberitahu penekanan Temasya Sukan Para SUKMA 2024 perlu dilihat daripada segi keupayaan dan kebolehan atlet para itu sendiri dan bukan kekurangan mereka.

Tambahnya, kebolehan mereka merupakan pelajaran terbaik kepada masyarakat tentang daya tahan, ketabahan dan potensi yang tidak mempunyai had.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM