ISKANDAR PUTERI, 7 September- Perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Palestin dengan Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim esok, menjadi medan penting untuk persediaan Piala Dunia dan Piala Asia.
Perkara itu dinyatakan Ketua Jurulatih Palestin, Ehad Abu Jazar.
Beliau berkata, dalam perlawanan itu juga pasukannya akan menggabungkan pemain berpengalaman dengan pemain baharu.
Ini memandangkan beberapa pemain Palestin tidak dapat beraksi akibat kecederaan, antaranya Mohammed Saleh, Musab Al Batato, Mohamad Hebous dan Assad Al Hamlawi.
Tempoh persediaan yang singkat dijangka menjadi cabaran.
"Pasukan Malaysia sangat kuat dan kami tahu mereka bermain dengan baik. Mereka mungkin kehilangan dua atau tiga pemain esok tetapi mereka sudah bersedia.
"Kami juga tahu bahawa penyokong Malaysia akan menyokong pasukan Palestin yang akan menjadikan suasana menarik," katanya.
Sementara itu, pemain tengah Oday Kharoub berkata beliau menghormati semua pemain Malaysia termasuk pemain naturalisasi.
"Saya mengenali pasukan pengurusan dan penjaring terbanyak kerana beraksi di sini musim lalu. Pemain Malaysia sangat pantas dan mereka mengasak lawan di dalam padang. Tetapi kami akan melakukan yang terbaik," katanya.
Terdahulu sebelum bertemu Palestin yang kini menghuni ranking ke-98 dunia, Malaysia menewaskan Singapura, 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.