fb fb fb fb fb

Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022 tarik 500 penyertaan termasuk dari luar negara

KUANTAN, 27 Julai- Pahang bakal menjadi tumpuan dunia apabila sukan bertaraf antarabangsa iaitu Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022 akan diadakan September ini di negeri itu.

Perlumbaan kanu terbesar yang pertama diadakan di rantau Asia Tenggara itu melibatkan kira-kira seramai 500 peserta termasuk 100 peserta dari luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan Dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ia juga merupakan kesinambungan Kerajaan Negeri untuk mempromosikan kempen pelancongan “This is Pahang Unlimited”.

“Standard perlumbaan yang kita buat diiktiraf di peringkat antarabangsa dan ini merupakan pertama sekali dibuat di rantau ini.

"Di Asia Tenggara ini merupakan perlumbaan yang terbesarrlah yang pernah dilaksanakan,”kata Sharkar.

Tambahnya, perlumbaan kanu tersebut turut dilihat sebagai serampang dua mata untuk mempromosikan pantai sejauh 290 kilometer yang terdapat di Pahang membabitkan lima lokasi pantai popular bakal menjadi venue utama iaitu Pantai Hiburan, Kuala Rompin, Pantai Legenda, Pekan, Pantai Cherating, Pantai Balok sebelum berakhir di Teluk Cempedak, Kuantan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022 di Menara Kuantan, Kuantan Pahang.

Dalam pada itu, pihak penganjur bakal menyiarkan secara langsung perlumbaan yang akan diadakan itu, menerusi saluran sosial media untuk tontonan seluruh dunia.

Antara negara terlibat, New Zealand, Jepun, Portugal, Thailand dan juga Singapura.




(Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan Dan Komoditi Negeri,
Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin)

Media Baharu