UBON RATCHATHANI, 27 Julai- Skuad Karate menghadiahkan tiga pingat emas buat kontijen negara di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.
Ketiga-tiga emas dikutip menerusi Karate Kata Berpasukan Lelaki, Karate Kumite Individu Wanita bawah 50 kg dan Karate Kumite Individu Wanita bawah 55 kg.
Emas pertama disumbang oleh trio Kojiro Yong, Dennis Lim, Chan Zhen Song meraih pungutan mata tertinggi selepas mempamerkan aksi mengagumkan.
Selain itu, C. Shahmalarani menghadiahkan emas kedua selepas menundukkan wakil dari Loas bagi acara Karate Kumite Individu Wanita bawah 50 kg.
Bagi acara Karate Kumite Individu Wanita bawah 55 kg pingat emas dan perak menjadi milik Malaysia selepas aksi penentuan pingat antara P. Madhuri dan G. Dharishini
Namun emas menjadi milik P. Madhuri yang unggul dari segi perlawanan dan pengalaman.
Skuad Karate turut berjaya meraih satu pingat perak menerusi Madeline Wong menerusi acara Karate Kata Individu Wanita.
Kojiro Yong turut meraih gangsa menerusi acara Karate Kata Individu.
(Aksi penentuan pingat emas antara P. Madhuri dan G. Dharishini)
Sementara itu, di kolam renang Jalur gemilang sekali lagi berkibar di Kampus Ban Yang Noi selepas skuad renang negara meraih satu lagi pingat emas.
Pingat berkenaan hadir menerusi acara 200 meter kuak kupu-kupu wanita.
Ong Yong Qi memastikan skuad renang tidak pulang hampa apabila menewaskan pencabar dari Indonesia, Karina Adinda dengan catatan masa 2 minit 18.45 minit.
Perak milik Indonesia manakala tuan rumah puas hati dengan pingat gangsa.
Selain itu, skuad renang turut menambah pingat perak menerusi acara 200 meter gaya bebas disumbangkan Welson Sim serta acara 4 x100 meter gaya bebas lelaki dan wanita.
Dua gangsa turut direkodkan Terence Ng Shin dan Low Zheng Yong.
(Ong Yong Qi raih emas acara 200 meter kuak kupu-kupu wanita)