fb fb fb fb fb

Persiapan pesilat menghadapi Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke 19 lebih mencabar

MELAKA, 27 Julai - Persiapan bagi menghadapi Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke 19 adalah lebih mencabar daripada persiapan di Sukan Sea yang berlangsung pada Mei lalu.

Menurut jaguh silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari, setiap negara yang terlibat menghantar pesilat berfaraf antarabangsa serta memerlukan para pesilat tanah air untuk lebih bersedia mental dan fizikal bagi menghadapi kejuaraan dunia ini.

Katanya, setelah dua tahun temasya itu ditangguhkan, terdapat perubahan dalam undang-undang perlawanan yang memerlukan momentum yang terbaik selain fokus yang tinggi.


(Jaguh silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari)

" Jadi untuk dunia ini dah tentu daripada negara-negara yang kuat semua yang datang daripada Sentral Asia daripada belah-belah Europe jadi daripada India, Pakistan, Jepun pun ada jadi perlawanan saya pada petang ini adalah bersama dengan india jadi mereka pun sudah tentu kalau datang tu bawak kelas yang ada dah tentu dia nak lawan jadi saya mengharapkan supaya saya kekal fokus dan juga tidak memandang remeh kepada pihak lawan ataupun pandangan rendah pada beliau," katanya ketika ditemui RTM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Selain Jufferi, turut ditemui wakil dari Amerika Syarikat, Kyle Keen.

Menurut Keen, pasukannya berharap menerusi kejuaraan ini, mereka dapat menambah pengalaman selain meningkatkan mutu permainan mereka agar dapat ke peringkat yang lebih baik selepas ini.


(Pesilat Amerika Syarikat, Kyle Keen)

"Dua tahun lepas pusat latihan kami ditutup dan kami hanya melakukan latihan di kawasan garaj atau berhampiran rumah kami, kami kembali ke pusat latihan pada enam bulan lepas jadi banyak kerja rumah yang perlu dilaksanakan terutama tiga bulan sebelum kejuaraan. Kami turut berusaha untuk menunjukkan yang kami berjaya ke pentas dunia dan memberikan yang terbaik, selain menunjukkan diversiti yang sangat unik di mana semua negara bersatu untuk kembali beraksi di kejuaraan ini," katanya.

Selain, Amerika Syarikat, antara negara yang mengesahkan penyertaan ialah India, Pakistan, Kazakhstan, Belanda dan Filipina.

Sebanyak 32 acara dipertandingkan antaranya tempur, regu, solo dan tunggal kategori lelaki dan wanita.

Media Baharu