KUANTAN, 11 Disember- Pahang dinobatkan selaku Juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2023 selepas menundukkan Terengganu 4-1 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, sini, Pahang, malam tadi.
Pencapaian tersebut mengulangi kejayaan Pahang menjulang trofi tersebut pada edisi 2018, sekali gus merampas mahkota kejuaraan dari Selangor yang terkandas pada separuh akhir.
Dalam aksi final itu, tiga gol Pahang diraih menerusi Muhammad Fitri Aziq yang meledak dua gol pada minit 27 dan 72, manakala Muhammad Zarih Izzuddin dan Muhammad Amin Che Jusoh masing-masing meledak satu gol minit 32 dan 92.
Sementara jaringan saguhati Terengganu pula diraih hasil sepakan penalti Muhammad Adli Abd Rahman pada minit ke-38.
Pengendali Pahang, Mohd Yazeed Hamzah menzahirkan rasa berbangga dengan prestasi cemerlang anak buahnya yang berjaya menerapkan strategi dirangka dalam perlawanan itu.
"Alhamdulillah misi berjaya, pemain mengikut apa yang kita susun, apa yang kita rancang. Seperti mana kita tahu, Terengganu bukan satu team yang kita boleh pandang rendah, (tetapi) kita prepare, kita tahu (Terengganu) akan bagi tekanan pada kita.
"(Jadi) kita plan bermain dengan counter attack, hasilnya saya berjaya dengan team hari ini.
"Terima kasih kepada pemain-pemain dan paling penting, syukur Alhamdulillah kepada Allah SWT," katanya di sini.
Kejayaan skuad Pahang itu membolehkan mereka meraih wang kemenangan bernilai RM80,000 berserta medal dan trofi Piala Emas Raja-Raja.
Sementara Terengganu yang terpaksa berpuas hati selaku naib johan membawa pulang medal dan hadiah kemenangan RM40,000.
Hadiah disampaikan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Turut hadir, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman dan Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed.