BIRMINGHAM, 7 Ogos- Atlet terjun negara, Ooi Tze Liang gagal menyumbang pingat buat negara dalam temasya sukan Komanwel 2022.
Ia selepas Tze Liang hanya menamatkan saingan di kedudukan ketujuh menerusi acara akhir 3 meter papan anjal lelaki.
Aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Sandwell itu menyaksikan Tze Liang tidak kesampaian menunaikan hasrat peribadinya untuk menghadiahkan pengakhiran yang positif sebagai tanda 'perpisahan' dengan temasya kedua terbesar dunia itu yang berlangsung empat tahun sekali.
Tze Liang mengakhiri terjunan sehingga pusingan keenam dengan mengumpul 427.70 mata.
Bagi pingat emas, perak dan gangsa, ketiga-tiganya menjadi milik wakil tuan rumah, England iaitu Daniel Goodfellow mengumpul mata tertinggi 484.45, Jordan Houlden, 465.15 manakala Jack David Laugher dengan 462.30 mata.
(Atlet terjun negara, Ooi Tze Liang dalam acara akhir 3 meter papan anjal lelaki)