fb fb fb fb fb

Ong Kim Swee kini ketua jurulatih Persis Solo

Datuk Ong Kim Swee / Foto FB Persis Solo

KUALA LUMPUR, 27 November – Bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab Liga Indonesia, Persis Solo.

Pengumuman rasmi dibuat melalui laman Facebook pasukan tersebut, sekali gus mengakhiri spekulasi berhubung masa depan Kim Swee, yang sebelum ini turut dikaitkan dengan struktur baharu skuad Harimau Malaya.

Persis Solo kini berada di kedudukan ketiga tercorot dalam carta liga dengan hanya mengumpul tujuh mata selepas 11 perlawanan.

Kim Swee, 53, sebelum ini mengesahkan perpisahan dengan Sabah FC, Khamis lalu susulan kontraknya yang tamat secara rasmi pada 30 November ini.

Sejak dilantik pada September 2021, beliau berjaya membawa Sabah FC menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok tiga teratas selama dua musim berturut-turut dan mara ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC musim lalu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN