KUALA LUMPUR, 12 Disember- Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee antara tiga individu dicalonkan bagi merebut gelaran Jurulatih Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2022 musim ini.
Menerusi kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), bekas ketua jurulatih kebangsaan itu dicalonkan bersama pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak dan bekas pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain.
Kim Swee menyifatkan pencalonan itu sebagai satu penghargaan apatah lagi ia merupakan tahun pertama beliau membimbing kelab dalam saingan Liga Malaysia.
Beliau turut mengakui persaingan bagi gelaran tersebut amat hebat dan menghormati dua calon lain berdasarkan pencapaian mereka pada musim 2022.
(Calon Jurulatih terbaik)
Sementara itu, Nafuzi pula mengganggap pencalonan kali ini adalah hasil usaha keras seluruh pasukan TFC, sekali gus memberinya peluang merebut gelaran Jurulatih Terbaik.
Bagaimanapun jelasnya, Hodak yang meraih anugerah tersebut musim lalu, berpeluang mempertahankan gelaran itu, selain Datuk Kim Swee setelah berjaya membimbing Sabah menduduki kelompok tiga teratas Liga Super.
Pada musim lepas, Hodak dinobatkan Jurulatih Terbaik selepas membawa KL City memenangi trofi Piala Malaysia 2021.
Majlis ABK2022 akan berlangsung secara maya pada pukul 9.00 malam, Khamis ini dengan 16 kategori dipertandingkan.
Antaranya adalah pemain terbaik di setiap posisi serta anugerah khas lain seperti Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).