LONDON, 7 Mei – Ketua Pasukan Formula 1 (F1) Alpine, Oliver Oakes telah meletak jawatan serta-merta dan bekas ketua pasukan, Flavio Briatore akan mengambil alih tugas beliau, menurut kenyataan pasukan Formula 1 yang berpangkalan di Britain pada Selasa.
Oakes dilantik sebagai ketua pasukan pada Julai 2024, menjadi ketua kelima pasukan itu dalam tempoh empat musim yang mengecewakan.
“Pasukan BWT Alpine Formula One mengumumkan bahawa Oliver Oakes telah meletak jawatan daripada peranannya sebagai Prinsipal Pasukan. Pasukan menerima peletakan jawatan beliau dengan serta-merta,” kata Alpine dalam kenyataan itu.
“Mulai hari ini, Flavio Briatore akan meneruskan peranannya sebagai Penasihat Eksekutif dan juga akan mengambil alih tugas yang sebelum ini dijalankan oleh Oliver Oakes.
“Pasukan mengucapkan terima kasih kepada Oliver atas segala usahanya sejak menyertai pasukan musim panas lalu dan sumbangannya membantu pasukan menduduki tempat keenam dalam Kejuaraan pengeluar 2024.”
Ketika ini, Alpine berada di tangga kesembilan daripada 10 pasukan selepas enam perlumbaan musim ini. Pelumba muda berusia 22 tahun, Doohan, anak kepada legenda motosikal Mick Doohan masih belum mengutip sebarang mata.
Flavio Briatore, 75, merupakan ketua pasukan semasa era kejayaan mereka sebagai Benetton dan Renault, memenangi kejuaraan bersama Michael Schumacher pada tahun 1994 dan 1995 serta Fernando Alonso pada 2005 dan 2006.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam membawa masuk Franco Colapinto dari Williams sebagai pelumba simpanan pada Januari lalu.
“Franco jelas merupakan antara bakat muda terbaik dalam sukan permotoran sekarang,” kata Briatore ketika itu.
Briatore masih menjadi tokoh kontroversi dalam F1 selepas terlibat dalam salah satu skandal terbesar sukan itu.
Beliau dikenakan pengharaman seumur hidup selepas skandal 'Crashgate' pada 2009, namun larangan itu dibatalkan oleh mahkamah Perancis pada 2010.
Beliau kembali ke arena F1 pada Jun tahun lalu sebagai penasihat eksekutif kepada Ketua Pegawai Eksekutif Renault, Luca de Meo.-REUTERS.