MELBOURNE, 7 Mei-Kelab bola sepak Liga-A Australia, Newcastle Jets menamakan bekas pemain pertahanan Australia, Mark Miligan sebagai ketua jurulatih baharu kelab tersebut menggantikan Rob Stanton yang dipecat sebelum ini.
Milligan, yang telah membuat 80 penampilan bersama pasukan kebangsaan Australia (Socceroos) termasuk dalam empat edisi Piala Dunia, akan diberi tanggungjawab untuk memulihkan prestasi Jets selepas pasukan itu gagal ke peringkat playoff buat kali ketujuh berturut-turut.
"Ia adalah masa yang sangat menggembirakan di bawah pemilikan baharu Newcastle Jets," kata Milligan, yang pernah bermain semusim bersama Jets pada 2008-09, dalam satu kenyataan pada Selasa.
"Sejak awal lagi, jelas strategi mereka selari dengan visi saya untuk kelab ini – iaitu pembangunan pemain dan kejayaan berpasukan.
"Setelah bermain dan tinggal di Newcastle, saya amat memahami kehendak penyokong yang mahu melihat corak permainan bertenaga dan menyerang", jelasnya.
Miligan,sebelum ini telah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia di bawah jurulatih senegara Peter Cklamovski, selepas memegang jawatan sama di kelab A-League seperti Adelaide United dan Macarthur FC, tempat beliau menamatkan kerjaya profesionalnya pada 2021.
Jets, yang menamatkan musim ini di tempat kesembilan daripada 13 pasukan A-League, pernah menjuarai liga pada tahun 2008 tetapi tidak pernah layak ke peringkat playoff sejak mara ke Grand Final 2018 di bawah kendalian Ernie Merrick.
Kelab tersebut sebelum ini telah lama dibelenggu masalah pemilikan dan kewangan selama lebih sedekad, namun kini berharap kepada masa depan yang lebih cerah selepas dibeli oleh Maverick Sports Group tahun lalu.
"Pengalaman bermain di sini membuatkan Mark faham betapa pentingnya hubungan dengan komuniti dan kepentingan membina identiti untuk Newcastle Jets," kata pengerusi kelab, Maurice Bisetto.-REUTERS.
"Kami yakin Mark mampu membina budaya yang kukuh dalam semua aspek kelab termasuk membentuk pasukan yang mampu dibanggakan oleh seluruh rantau ini."