fb fb fb fb fb

Cristiano Ronaldo Jr dipanggil sertai skuad B-15 Portugal

Aksi Cristiano Jr pada aksi Al Nassr / Foto REUTERS

RIYADH, 7 Mei-Legasi bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo akan terus  mewarnai sukan berkenaan apabila anaknya, Cristiano Ronaldo Jr menerima panggilan mewakili skuad bawah 15 tahun Portugal.

Penyerang berusia 14 tahun itu, yang kini menjalani latihan di akademi belia Al-Nassr di Arab Saudi, akan menyertai skuad Portugal untuk kejohanan di Croatia pada bulan ini, berdepan Jepun, Greece dan England dalam penampilan pertamanya di pentas antarabangsa.

"Bangga denganmu, anak," tulis kapten Portugal berusia 40 tahun itu, Cristiano Ronaldo, di media sosial sambil berkongsi pengumuman senarai pemain.

Pemenang lima kali Ballon d'Or yang mengetuai Portugal menjuarai Kejohanan Eropah 2016 itu telah menjaringkan 136 gol dalam 219 penampilan antarabangsa, dan kini bakal menyaksikan penampilan pertama anak lelakinya.

Sebelum ini, Ronaldo Jr sudah pun mengikut jejak langkah bapanya di peringkat kelab, pernah bermain bersama pasukan belia bekas kelab yang pernah diwakili ayahnya seperti Real Madrid, Juventus dan Manchester United, sebelum berpindah ke Arab Saudi bersama keluarganya.

Remaja itu dilaporkan telah menjaringkan 58 gol semasa di Itali, dan beberapa klip video menunjukkan Ronaldo Jr meraikan gol dengan gaya ikonik 'Siu' seperti bapanya di Al-Nassr telah tular di media sosial.

Pada tahun 2022, Ronaldo dilaporkan berkata anaknya berhasrat untuk berkongsi padang dengannya suatu hari nanti.

"Anak saya berkata, 'Ayah, tahan beberapa tahun lagi, saya mahu bermain dengan ayah!'" dedah Ronaldo ketika itu.

Walaupun Ronaldo Jr dilahirkan di Amerika Syarikat dan membesar di Sepanyol menjadikannya layak untuk mewakili tiga negara, namun panggilan oleh pasukan Portugal dilihat sebagai petunjuk jelas bahawa beliau cenderung mewakili negara asal bapanya di peringkat antarabangsa.

Bagi sebuah negara yang identitinya bola sepak moden banyak dibentuk oleh permainan hebat bapanya selama lebih dua dekad, penyertaan Ronaldo Jr dalam skuad bawah 15 tahun Portugal mungkin menjadi langkah pertama dalam kesinambungan generasi yang bakal mencuri tumpuan dunia.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD