fb fb fb fb fb

AS jamin anjur Piala dunia 2026 'paling teratur dalam sejarah'

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden FIFA, Gianni Infantino menghadiri mesyuarat Pasukan Petugas FIFA di White House, Washington D.C / REUTERS

WASHINGTON, 7 Mei- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi jaminan negara itu akan menganjurkan kejohanan bola sepak paling teratur dalam sejarah ketika bersiap sedia menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2026 bersama Kanada dan Mexico.

Berucap dalam satu mesyuarat pasukan petugas bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Naib Presiden AS, JD Vance, Trump berkata, segala aspek perjalanan dan keselamatan bagi peminat bola sepak dari seluruh dunia yang hadir ke Amerika Syarikat akan diberi keutamaan.

“Setiap agensi kerajaan akan berganding bahu bagi memastikan kejohanan ini berlangsung dengan selamat dan lancar. Kami mahu semua pelawat yang datang menyaksikan kejohanan ini menikmati pengalaman yang bebas daripada sebarang masalah,” katanya.

“Ia akan jadi sangat istimewa. Bersama-sama, kita akan pastikan Piala Dunia 2026 menjadi kejohanan bola sepak paling teratur pernah dianjurkan dunia,” tambah beliau.

Trump turut mengulas mengenai kejohanan Kelab Dunia FIFA yang pertama kali akan dianjurkan di AS dari 14 Jun hingga 13 Julai 2025, membabitkan 11 bandar tuan rumah.

Sementara itu, Presiden FIFA, Gianni Infantino, berkata kedua-dua kejohanan iaitu Piala Dunia dan Kelab Dunia dijangka menjana hampir AS$50 bilion dalam output ekonomi serta mencipta sekitar 300,000 peluang pekerjaan di Amerika Syarikat.

“Amerika akan menyambut kedatangan dunia,” ujar Infantino.

Naib Presiden JD Vance pula memaklumkan pasukan petugas akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan kejayaan kedua-dua acara berprestij itu.

“Sudah pasti semua orang dari hampir 100 negara dijangka hadir. Kami alu-alukan mereka untuk datang, meraikan, dan menyaksikan perlawanan. Tapi bila masa tamat, mereka harus pulang, kalau tidak, mereka perlu berurusan dengan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem,” katanya berseloroh.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE