PARIS, 7 Mei – Pemain tengah Arsenal, Declan Rice, menegaskan pasukannya yakin mampu “menghasilkan sesuatu yang istimewa” apabila mereka cuba membalikkan defisit 0-1 menentang Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara UEFA di Parc des Princes pada Rabu.
“Kami ke sini untuk menang. Kami mahu buat kenyataan. Kami mahu ke final. Jadi kami perlu bersedia sepenuhnya,” kata Rice kepada media.
“Kami perlu berani, dan bermain untuk tunjukkan kami bersedia bermain di tahap ini.”
PSG memiliki kelebihan tipis selepas gol awal Ousmane Dembélé memberikan kemenangan 1-0 kepada kelab Perancis itu dalam pertemuan pertama di Stadium Emirates minggu lalu.
Namun Rice dan pengurus Arsenal, Mikel Arteta, percaya mereka mampu menewaskan pasukan yang sebelum ini menyingkirkan dua wakil Liga Perdana Inggeris, Liverpool dan Aston Villa dalam pusingan sebelum ini.
"Saya rasa malam esok akan menjadi perlawanan paling sengit antara kedua-dua pasukan.Dan kami melihatnya sebagai sesuatu yang positif. Kami (Arsenal) sudah pun bersedia dan melakukan sesuatu yang istimewatambah Rice.
Rice turut menyatakan bahawa pengalaman pasukan tersebut mengatasi Real Madrid di peringkat suku akhir akan menjadi bekalan penting.
Pada pertemuan itu, Arsenal menang 2-1 di Bernabeu untuk melengkapkan agregat 5-1, dengan Rice menyumbang dua sepakan percuma menakjubkan dalam aksi pertama.
“Ramai persoalkan sama ada kami boleh hadapi tekanan di Bernabeu. Tapi kami kendalikan situasi itu dengan cukup baik. Ini adalah satu lagi langkah besar buat pasukan ini.”
Arsenal perlu menang untuk mara ke perlawanan akhir pertama sejak 2006, yang dijadual berlangsung di Munich hujung bulan ini. Bagi Rice, kini adalah masa untuk seseorang muncul sebagai wira,seperti dirinya ketika menentang Real Madrid.
“Perlawanan menentang Madrid dulu saya hasilkan dua sepakan percuma yang menakjubkan, tapi mungkin esok giliran orang lain pula mencipta detik ajaib", katanya.
Sementara itu, pengurus Arsenal Mikel Arteta pula menekankan bahawa anak buahnya tidak layak kalah dalam aksi pertama dan menggesa mereka bangkit demi mencipta sejarah kelab.
“Kita hanya selangkah lagi dari perlawanan akhir Liga Juara, di salah satu bandar paling indah di dunia, menentang lawan yang hebat. Tiada yang lebih hebat daripada itu,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.
Arteta turut mengesahkan bahawa Riccardo Calafiori cergas dan menyertai skuad ke Paris, manakala keadaan Jurrien Timber akan dinilai sebelum perlawanan. Dari kem tuan rumah, Luis Enrique mengesahkan Dembélé, yang mengalami sedikit masalah hamstring, kini cergas untuk beraksi.
“Kami di sini untuk cipta sejarah,” tegas Arteta.-AFP.