fb fb fb fb fb

Liga Juara: Jaringan Frattesi bawa Inter ke perlawanan akhir

Ketua jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi meraikkan kemenangan / Foto REUTERS.

MILAN, 7 Mei-Jaringan pemain gantian, Davide Frattesi dalam masa tambahan berjaya membawa Inter Milan mara ke perlawanan akhir Liga Juara selepas menewaskan Barcelona 4-3 menjadikan agregat 7-6 pada separuh akhir yang mendebarkan.

Pada perlawanan yang dilangsungkan di San Siro, Inter menguasai babak pertama dan mendahului dua gol hasil jaringan Lautaro Martinez pada minit ke-21 menerusi serangan balas pantas, diikuti penalti oleh Hakan Calhanoglu pada babak akhir separuh masa pertama selepas Martinez dikasari oleh pertahanan Barcelona.

Namun, Barcelona bangkit selepas rehat apabila Eric Garcia dan Dani Olmo masing-masing menjaringkan gol dalam tempoh enam minit untuk menyamakan kedudukan, masing-masing pada minit ke-54 dan 60.

Barcelona kemudiannya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-87 menerusi Rapinha yang memanfaatkan bola muntah rembatannya.

Inter Milan kemudiannya menyamakan kedudukan 3-3 menerusi rembatan Francesco Acerbi pada minit ke-93 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Frattesi yang masuk menggantikan Martinez menjadi wira Inter menerusi rembatannya pada minit ke-99.

Kejayaan mara ke perlawanan akhir merupakan kejayaan kedua kelab Itali berkenaan selepas melakukannya pada musim 2023 sebelum tewas kepada Manchester City 1-0.

Inter Milan bakal menentang pemenang di antara Arsenal dan PSG pada satu lagi perlawanan separuh akhir yang akan dilangsungkan pada Khamis.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD