KUALA LUMPUR, 6 Mei- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik usaha memperkenalkan sukan baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada ekosistem dan industri sukan negara.
Seiring perkembangan semasa, jumlah sukan di bawah Jadual Pertama Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) kini bertambah daripada 39 kepada 103 sukan, merangkumi pelbagai disiplin tradisional, moden dan digital.
Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias berkata, perkembangan ini memberi peluang lebih luas kepada belia untuk menyertai bidang sukan secara lebih serius, sama ada dari sudut prestasi mahupun pembangunan kemahiran.
“Kalau kita lihat dalam pembangunan sukan e-sport, kementerian mengalu-alukan dan mengesyorkan agar Persatuan Sukan Dodgeball untuk bekerjasama dengan Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (MBSS).
"Ini secara tidak langsung akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan sukan digital dodgeball sebagai salah satu sukan yang akan menjadi kegemaran ramai pada masa akan datang," katanya.
Beliau menyatakan perkara berkenaan selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Digital Dodgeball Negara di Shah Alam.
Terdahulu, pasukan berkenaan bakal mencipta sejarah tersendiri apabila akan beraksi di Piala Dunia HADO 2025 di Shanghai, China, dari 23 hingga 25 Mei ini Shah Alam.
Hadir sama, Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), YH Datuk Radha Krishnan.
HADO, sukan berasaskan realiti tambahan (AR), semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda dan dijangka menjadi antara sukan masa depan yang berpotensi tinggi.
Sementara itu, KBS menegaskan bahawa langkah ini mencerminkan pendekatan dinamik kementerian dalam mengiktiraf sukan baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Penambahan ini dijangka merancakkan lagi penyertaan belia serta menyokong usaha kerajaan memperkasa sektor sukan sebagai pemacu perpaduan dan pembangunan negara.