fb fb fb fb fb

Olimpik Paris: Kesilapan kecil punca atlet memanah wanita negara tewas

Atlet memanah wanita negara (dari kiri) Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, dan Nur Azreena Mohamad Fazil/Foto fail BERNAMA

PARIS, 29 Julai - Ketua jurulatih memanah negara, Lee Jae Hyung mengakui hanya beberapa kesilapan yang menjadi punca kekalahan dalam acara kumpulan di tangan Indonesia semalam.

Bagaimanapun beliau menyifatkan kekalahan berkenaan merupakan pengajaran terbaik buat trio Malaysia sebelum beraksi pada acara individu nanti.

Trio yang dibarisi Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Mohd Fazil tersingkir selepas kalah 3-5 kepada Indonesia yang diwakili oleh Diananda Choirunisa, Syifa Nurafifah Kamal dan Rezza Octavia.

Pada aksi itu, trio Malaysia tewas 52-54 pada set pertama sebelum menyamakan kedudukan dengan 55-47 pada set berikutannya namun akur dengan kekalahan 51-53 dan terikat 52-52 pada dua set berikutnya (2 mata untuk menang, seri 1 mata).

"Hari ini tiada gangguan angin, kita boleh melakukan panahan tetapi penamat kurang cemerlang.

"Di pentas Olimpik, persiapan semua lawan baik, kita kena beranikan diri untuk buat lebih baik, akan terus cari rentak untuk acara individu," kata jurulatih berasal dari Korea Selatan itu yang fasih berbahasa Melayu.

Beliau akan melakukan beberapa penambaikan kepada atlet memanah sebelum beraksi bagi acara individu pada Rabu ini.

Dalam pada itu, Jae Hyung menyifatkan ketika ini prestasi yang ditampilkan ketiga-tiga atlet memanah wanita itu bertambah baik.

Pada saingan individu Syaqierah yang membuat penampilan kedua di pentas Olimpik akan berdepan pemanah Moldova, Alexandra Mirca.

Ariana pula akan bertemu pemanah Itali, Chiara Rebagliati manakala Nurul Azreena akan menentang Elif Berra Gokkır dari Turkiye.

GRACE AISYAH KEDAYAN