KUALA LUMPUR, 10 Julai - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) beri jaminan keselamatan kontijen negara ke temasya terbesar dunia Sukan Olimpik Paris 2024 sentiasa menjadi keutamaan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, KBS sentiasa berhubung dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi mendapatkan perkembangan situasi semasa di Paris.
Ujar beliau, semua pihak termasuk atlet dan pegawai telah mendapat taklimat keselamatan.
“Keselamatan atlet dan kontinjen termasuk staf sokongan yang pergi ke Paris, itu adalah keutamaan kepada kita.
“Kita kena tunggu (situasi)… kita ada buat persiapan tetapi setakat ini, memang kita difahamkan semuanya sudah diberikan taklimat (keselamatan),” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra bersama peserta Projek Reben Kuning 2024 di Penjara Wanita Kajang, di sini pada Rabu.
Perancis kini dilaporkan dengan pergolakan politik tiga minggu sebelum menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.
Ini sekali gus menjadikannya sukar untuk mengetahui siapa yang akan berada di posisi penting kerajaan apabila temasya itu dibuka pada 26 Julai ini.