PARIS, 10 Ogos - Debaran untuk mencari pingat Emas pertama semakin kencang apabila jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Mohd Shah Firdaus Sahrom akan turun ke gelanggang lewat malam ini bagi acara Keirin.
Setelah meraih Gangsa pada temasya Rio 2016 dan Perak di Tokyo 2020, pelumba berusia 36 tahun itu kini bersedia menambah koleksi pingatnya kepada Emas di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.
Kali ini, Azizul dan Shah Firdaus dijangka berdepan pesaing antaranya pemenang Emas kejohanan dunia 13 kali, Harry Lavreysen dari Belanda, pelumba Great Britain, Jack Carlin, Mathiew Glaetzer dari Australia dan pemenang Emas sukan Asia dua kali dari Jepun, Kaiya Ota.
Rabu lalu, kedua-dua pelumba negara itu menamatkan kempen acara pecut masing-masing di pusingan ketiga dan pertama.
Bagaimanapun, Azizul berjaya memperbaharui rekod kebangsaannya dengan mencatat 9.402 saat pada pusingan kelayakan.
Ini mengatasi rekod yang dilakukannya iaitu 9.523 saat pada kejohanan Berbasikal Trek Asia di Nilai, tahun lalu.
Bagi acara Keirin yang berlangsung lewat malam ini, seramai 30 pelumba akan bersaing dalam lima kumpulan saringan di pusingan pertama.
Dua pelumba teratas dalam setiap saringan akan layak ke suku akhir diikuti separuh akhir dan hanya enam pelumba akan layak ke pusingan akhir.