LABUAN, 10 Ogos- Pendidikan merupakan asas kepada pembangunan manusia dan kemajuan masyarakat.
Melalui pendidikan, seseorang individu menimba ilmu pengetahuan dan memperoleh kemahiran untuk menavigasi kompleksiti dunia ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Abidin Marjan berkata pendidikan di sekolah bukan sahaja untuk mendapatkan ilmu tetapi kemampuan untuk menganalisis sesuatu ilmu yang diperoleh.
Katanya pendidikan masa kini bukan sahaja tentang ilmu tetapi lebih kepada pengurusan bakat.
"Untuk mencapai matlamat itu tiga perkara digariskan untuk semua warga pendidikan khususnya di wilayah ini.
"Antaranya guru harus memiliki kualifikasi yang tinggi dan mampu menginspirasi serta membimbing murid dengan lebih baik.
"Selain itu guru juga perlu menguasai kemahiran digital di samping memastikan pembentukan jati murid yang kukuh dan berkeyakinan tinggi,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Aspirasi Guru MADANI peringkat Labuan yang berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan.
Pada majlis itu turut disampaikan Anugerah Tokoh Guru Madani kepada Dayang Damit Md. Yassin manakala Anugerah Kepimpinan Madani dianugerahkan kepada Norismah Moin.
Turut disampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Guru Besar dan Tokoh Kepimpinan Pengetua serta Anugerah Guru Inovasi.
Majlis itu dihadiri lebih 1,600 pendidik melibatkan guru sekolah rendah dan menengah di Labuan.