KUALA LUMPUR, 10 Ogos - Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tersingkir selepas diberikan status Disqualified (DSQ) pada pusingan kelayakan keirin di Sukan Olimpik Paris di Velodrom Saint Quentin en Yvelines, sebentar tadi.
Azizul tersingkir gara-gara tindakannya didapati berada di depan pacer pada awal saingan.
Azizul, 36 tahun terpaksa akur dengan kesilapan semasa perlumbaan yang berdepan dengan pelumba-pelumba terkenal seperti Matthew Glaetzer dari Australia dan Jeffrey Hoogland.
Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan John Beasley turut mengesahkan penyingkiran Azizulhasni.
Statusnya yang hilang kelayakan bermakna Azizulhasni tidak akan dapat bersaing dalam repechage lewat hari ini.
Azizulhasni telah diundi di tempat keenam di belakang derny dalam heat yang turut menampilkan pemain Belanda Jeffrey Hoogland, Matthew Glaetzer (Australia), Ota Kaiya (Jepun), Ryan Helal (Perancis) dan Jair Tjon En Fa (Suriname).
The pocket rocketman sebelum ini turut bersaing dalam acara pecut yang menyaksikan beliau menamatkan saingan di pusingan 1/8.
Anak kelahiran Dungun itu juga tidak layak ke suku akhir selepas menduduki tempat ketiga pusingan repechages.
Azizul sebelum ini pernah meraih pingat gangsa di Olimpik Rio 2016 dan pingat perak di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin.
Sebelum ini, media melaporkan pelumba trek negara itu menggunakan basikal khas dalam usaha memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.
Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) menghabiskan RM7.5 juta untuk membangunkan basikal berteknologi tinggi buat tiga pelumba trek negara Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dan Muhammad Fadhil Zonis.
Basikal khas itu diperbuat daripada karbon fiber yang lebih keras namun ringan, dengan teknologi aerodinamik terkini bagi mengurangkan rintangan angin.