SUNGAI PETANI, 3 November- Kedah muncul juara Kejohanan Kabaddi Antara Negeri-Negeri 2025 bagi kategori lelaki manakala kategori wanita diungguli pasukan Wilayah Persekutuan.
Kejohanan yang berlangsung di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Terk, Sungai Petani, Kedah menyaksikan kontinjen hijau kuning itu menampilkan aksi bertenaga berdepan Wilayah Persekutuan di pusingan akhir sekali gus dinobatkan sebagai juara.
Naib juara menjadi milik Wilayah Persekutuan manakala di tempat ketiga dimenangi bersama oleh Perak dan Terengganu.
Sementara itu, bagi kategori wanita, dendam Wilayah Persekutuan akhirnya terbalas apabila pasukan itu berjaya menewaskan Kedah pada aksi akhir.
Kelantan dan Terengganu pula berkongsi tempat ketiga.
Kejohanan anjuran Persatuan Filem India Pulau Pinang dengan kerjasama Dream Sky Production dan disokong oleh Persatuan Kabaddi Negeri Kedah disertai 12 pasukan terbaik seluruh negara.
Acara tersebut menyajikan persembahan kemahiran peringkat tinggi oleh pasukan yang bertanding.
Presiden Persatuan Kabaddi Negeri Kedah, Sathasivam dan Presiden Persatuan Filem India Pulau Pinang, L. Viknes Perrabu menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua peminat Kabaddi dan orang ramai yang menyokong kejohanan tersebut.
Kejohanan itu bukan sahaja meraikan sukan tersebut, malah menggalakkan masyarakat melibatkan diri dan menyokong pembangunan Kabaddi di semua peringkat kebangsaan.