KUALA LUMPUR, 5 Mei – Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan kegagalan skuad negara mara ke separuh akhir Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China sebagai satu pencapaian yang mengecewakan.
Beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya pemain pelapis negara tampil memikul tanggungjawab yang lebih besar dan tidak terus bergantung sepenuhnya kepada barisan utama dalam kejohanan berpasukan.
“Keyakinan dan keinginan barisan kedua kita masih belum cukup. Kita masih bergantung kepada pemain seperti Pearly-Thinaah dan Aaron-Wooi Yik. Namun pemain seperti Leong Jun Hao, beregu wanita nombor dua negara dan yang lain perlu bangkit dan bersedia menggalas cabaran ke peringkat tertinggi,” katanya.
Norza turut menekankan bahawa langkah tersebut mampu mengurangkan tekanan ke atas pemain utama serta mewujudkan persaingan sihat dalam pasukan. Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pengenalan jersi dan pemain skuad sepak takraw negara bagi menghadapi Piala Asia 2025 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur bermula 10 Mei ini.
Malaysia tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas 0–3 kepada tuan rumah, China. Dalam aksi tersebut, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tumpas 17–21, 17–21, manakala perseorangan lelaki, Leong Jun Hao tewas 6–21, 14–21 kepada Shi Yu Qi.
Turut mengalami kekalahan ialah perseorangan wanita, K. Letshanaa yang tunduk kepada juara Olimpik Tokyo 2020, Chen Yu Fei dengan keputusan 8–21, 7–21 dalam masa hanya 32 minit.