ABU DHABI, 7 Disember - Pelumba McLaren, Lando Norris, tidak dapat menahan sebak selepas muncul juara dunia Formula 1 buat kali pertama dalam kariernya, sekaligus menamatkan penguasaan empat tahun Max Verstappen di Grand Prix Abu Dhabi, pada Ahad.
Verstappen yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, terlepas peluang untuk mempertahankan kejuaraan dunia meskipun berjaya mencatat lapan kemenangan sepanjang musim ini.
Perlumbaan terakhir musim menyaksikan Verstappen menjuarai perlumbaan, diikuti rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri di tempat kedua, ketinggalan 12.5 saat di belakang.
Norris menamatkan musim dengan kutipan 423 mata, diikuti Verstappen dengan 421 mata, manakala Piastri di tempat ketiga keseluruhan dengan 410 mata.
McLaren yang telah mengesahkan kejuaraan kategori pengeluar pada Oktober lalu, berjaya memenangi kedua-dua gelaran dalam satu musim buat kali pertama sejak 1998.
“Saya sudah lama tidak menangis. Saya tidak sangka akan menangis, tetapi saya benar-benar sebak. Perasaan ini sangat luar biasa. Sekarang saya sedikit faham apa yang Max rasakan,” kata Norris dalam temu bual selepas perlumbaan.
Norris turut mengucapkan tahniah kepada Verstappen dan Piastri yang disifatkan sebagai pesaing terbesar beliau sepanjang musim ini.
Kemenangan itu menafikan rekod lima kejuaraan berturut-turut Verstappen, pencapaian yang hanya pernah dilakukan legenda Ferrari, Michael Schumacher.
Dalam perlumbaan sama, Charles Leclerc menamatkan saingan di tempat keempat untuk Ferrari, diikuti George Russell di tempat kelima bagi Mercedes dan Fernando Alonso keenam untuk Aston Martin.
Esteban Ocon berada di tempat ketujuh, mengatasi juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton di tempat kelapan. Hamilton gagal menaiki podium sepanjang musim ini, rekod terburuk dalam kerjayanya pada usia 40 tahun selepas menyertai Ferrari dari Mercedes.
Nico Hulkenberg dari Sauber berada di tempat kesembilan dalam perlumbaan ke-250 kariernya, manakala Lance Stroll melengkapkan kedudukan 10 terbaik untuk Aston Martin.-REUTERS