KUALA LUMPUR, 7 Disember – Wilayah Pahlawan Kejuaraan Antarabangsa Muay Thai 2.0 (WPIMC) berupaya muncul sebagai kejohanan muay thai paling berpengaruh tahun ini, dipacu oleh komitmen terhadap kualiti, integriti dan profesionalisme dalam setiap aspek penganjuran.
Kejohanan yang menerima sokongan penuh Tourism Malaysia itu turut menyaksikan penyertaan meluas dari dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di pentas sukan tempur antarabangsa.
Presiden Pahlawan Muay Thai merangkap penganjur WPIMC 2.0, Muhammad Faizol Mokhtar berkata fokus utama kejohanan itu adalah kualiti peserta, yang menjadi identiti tersendiri sekaligus membezakan Pahlawan daripada penganjur muay thai lain.
Muhammad Faizol Mokhtar/Foto RTM
“Kita di Pahlawan sangat menitiberatkan kualiti. Dari perjalanan persiapan, tahap kecergasan, bilangan perlawanan hinggalah ganjaran — semuanya dipilih dengan teliti. Kalau datang hanya untuk bersuka-suka, kita memang tak terima,” katanya.
Beliau berkata WPIMC turut berperanan sebagai platform pembangunan atlet muda, termasuk melahirkan bakat baharu setaraf jaguh muay thai negara, Jojo, melalui struktur kategori yang disusun dari peringkat asas hingga ke tahap kompetitif.
Sokongan Tourism Malaysia, katanya, turut membuka ruang lebih besar untuk atlet tempatan diketengahkan ke pentas antarabangsa.
Dalam masa sama, Pahlawan meneruskan komitmen sosial melalui kempen “Buli Bukan Budaya” dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memupuk nilai disiplin dan mengatasi stigma negatif terhadap sukan tempur.
Muhammad Faizol turut memaklumkan bahawa WPIMC edisi 3.0 tahun hadapan dijangka lebih besar, susulan minat awal daripada beberapa pihak termasuk wakil kerajaan, selain penyertaan meluas dari seluruh negara serta negara jiran seperti Singapura.