fb fb fb fb fb

Norris raih gelaran dunia pertama dengan gaya ‘Gentleman’

Lando Norris, juara dunia baharu dan pemandu McLaren yang meraih tempat ketiga, meraikan detik emosinya di podium selepas Grand Prix Abu Dhabi di Litar Yas Marina/ Foto AFP

ABU DHABI, 8 Disember - Juara dunia baharu Formula 1, Lando Norris bangga meraih gelaran pertamanya dengan menyatakan tetap menjadi dirinya sendiri dan tanpa mengubah gaya pemanduannya.

Pemandu McLaren berusia 26 tahun itu menegaskan bahawa kejayaan musim ini datang hasil pendekatan yang jujur dan bersih, bukan dengan meniru gaya agresif sesetengah juara terdahulu.

“Itu antara perkara yang paling buat saya bangga,” kata Norris.

“Saya rasa saya menang dengan cara yang saya mahukan, bukan dengan menjadi seseorang yang bukan diri saya.”

Norris berkata beliau tidak pernah cuba meniru pendekatan agresif Max Verstappen atau beberapa juara lain, walaupun mengakui ada ketika dia boleh berbuat demikian.

“Boleh saja saya lebih agresif, lepas brek lebih awal dan potong beberapa pemandu. Mungkin saya perlu lakukan itu pada masa depan. Tapi itu bukan saya. Itu bukan cara saya mahu berlumba.”

Kejayaan Norris melengkapkan kejayaan berganda McLaren, yang meraih kejuaraan pemandu dan pengeluar buat kali pertama sejak 1998.

Norris menamatkan perlumbaan akhir musim di Abu Dhabi di tempat ketiga, di belakang Verstappen yang memenangi perlumbaan dan rakan sepasukan Oscar Piastri.

Norris muncul juara dunia dengan kelebihan dua mata ke atas Verstappen, yang menamatkan era empat tahun penguasaannya dalam musim penuh emosi yang dipenuhi drama strategi.

Pemandu muda Britain itu menangis ketika menyambut kejayaan bersejarah tersebut dan berterima kasih kepada pasukan, keluarga dan rakan-rakan atas sokongan mereka.

“Saya bangga, tapi bukan sebab saya boleh bangun esok dan berkata saya kalahkan semua orang,” katanya.

“Saya bangga kerana saya buat ramai orang gembira.”- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI