MADRID, 8 Disember - Ketua jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso, menggesa pasukannya bangkit segera selepas mengalami kekalahan mengecewakan 2-0 kepada Celta Vigo dalam aksi La Liga pada Ahad.
Kekalahan di Santiago Bernabéu itu menambah tekanan ke atas Los Blancos yang kini hanya mencatat dua kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.
Keputusan itu turut menyaksikan Madrid ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.
Situasi bertambah buruk apabila Madrid menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain selepas Fran García dan Álvaro Carreras dilayangkan kad merah pada perlawanan itu.
“Kami semua marah, jelas sekali ini bukan perlawanan yang kami mahukan, bukan keputusan yang kami mahukan,” kata Alonso dalam sidang media di Bernabéu.
“Kami perlu melupakan kekalahan ini secepat mungkin. Ia cuma tiga mata. Kami ada perlawanan Liga Juara-Juara menentang City untuk bangkit dan lupakan kekalahan ini.”
Prestasi hambar dalam minggu-minggu kebelakangan ini mencetuskan spekulasi di media Sepanyol mengenai masa depan Alonso.
Ditanya sama ada perlawanan menentang City bakal menentukan nasibnya, Alonso menegaskan tumpuannya kini untuk mengekalkan rekod baik Madrid dalam kejohanan tersebut.
“Kami bermain untuk tiga mata dalam Liga Juara-Juara, dalam pertandingan yang kami berada di posisi baik,” katanya.
“Kami mahu bermain dengan lebih baik. Kami tahu kami mampu beraksi jauh lebih baik daripada hari ini.”- AFP