KUALA LUMPUR, 3 September – Atlet gusti profesional negara, Nor “Phoenix” Diana, melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai Pencabar No. 1 Kejuaraan Wanita WWE Independent Development (WWE ID) sempena kejohanan Slamfest 2025 di Stadium Juara, Mont Kiara, pada malam sambutan Hari Kebangsaan.
Detik bersejarah itu tercipta selepas Phoenix menewaskan Zayda Steel dalam perlawanan penentuan yang diumumkan oleh Pengarah Reality of Wrestling (ROW), Kevin Bernhardt. Juara WWE ID, Kylie Rae, yang tidak dapat beraksi kerana kecederaan, tampil sebagai pengadil jemputan khas.
“Kemenangan ini bukan sekadar milik saya, tetapi kemenangan untuk Malaysia. Menjadi rakyat Malaysia pertama mara sebagai pencabar kejuaraan WWE pada malam Merdeka adalah sesuatu yang tidak akan saya lupakan,” kata Phoenix.
Lebih 700 peminat memenuhi stadium, manakala ribuan lagi mengikuti siaran langsung melalui CloudJoi dan TikTok Live, menjadikan ia acara gusti profesional Malaysia pertama yang dipertontonkan serentak ke seluruh dunia.
Slamfest turut menyaksikan pertarungan utama antara perintis gusti Malaysia, Shaukat, menentang bekas Juara Dunia WWE, Raj Dhesi (Jinder Mahal). Dalam perlawanan penuh aksi, Shaukat muncul pemenang dengan sorakan gemuruh penonton.
Terdahulu, Juara APAC Wrestling, “Dreamkiller” Azroy, berjaya mempertahankan gelarannya dalam perlawanan tangga pertama di Malaysia apabila menewaskan Juara WWE ID, Cappuccino Jones. Walaupun kejuaraan Jones tidak dipertaruhkan, intensiti perlawanan dianggap setaraf acara utama pay-per-view.
Divisyen wanita pula turut mencuri tumpuan dengan kemenangan Tarlee dari Australia dalam perlawanan Femme Fatale Four-Way, menewaskan Crystal, Mio Shirai dan Kira Summer untuk muncul sebagai pencabar No. 1 Kejuaraan Wanita APAC.
Antara sorotan lain di Slamfest 2025 termasuk kejayaan The Untouchables (Damian Slater dan Marcus Pitt) menjuarai aksi Tag Team Gauntlet, manakala Double K menewaskan jaguh antarabangsa, Jordan Oasis. Sean Legacy pula mencuri perhatian apabila mengatasi bintang tempatan, Alfa Nazri, dalam perlawanan yang dianggap ramai sebagai ‘show-stealer’ malam itu. Sementara itu, pertarungan sengit antara Serigala dan Mikey Broderick berakhir dengan diskualifikasi, menandakan perseteruan mereka masih belum berkesudahan.
Shaukat menegaskan penganjuran Slamfest adalah titik tolak penting buat arena gusti negara.
“Para penggusti Malaysia mampu menyaingi juara-juara daripada sistem pembangunan gusti paling dihormati, dan kami melakukannya secara langsung di hadapan dunia. Ini baru langkah pertama,” katanya.
Slamfest 2025 turut mencatat beberapa sejarah: buat pertama kali juara WWE ID tampil di Malaysia, perlawanan tangga rasmi pertama negara dianjurkan, dan acara gusti profesional tempatan diproduksi mengikut piawaian siaran antarabangsa.