fb fb fb fb fb

Nistelrooy harap diberi peluang bimbing United pada perlawanan menentang Chelsea

Pengurus Sementara Manchester United, Ruud Van Nistelrooy / Foto REUTERS

MANCHESTER, 1 November-Pengurus sementara Manchester United, Ruud van Nistelrooy masih berharap agar dia dibenarkan untuk membimbing kelab berkenaan menjelang pertemuan di gelanggang sendiri bertemu Chelsea pada Ahad.

Bekas penyerang legenda Manchester United itu dilantik sebagai pengurus selepas pemecatan Erik ten Hag pada Isnin.

Nistelrooy berjaya pada ujian pertamanya selaku pengurus apabila menang pada perlawanan pertamanya di suku akhir Piala Liga selepas anak-anak buahnya menumbangkan cabaran Leicester City, 5-2 pada Rabu lalu.

Kemenangan itu menyebabkan Nistelrooy dicadangkan untuk mengemudi kelab berkenaan pada pertemuan menentang Chelsea.

"Saya sudah menjangkakan perkara itu. Ya, ini akan menjadi tugas yang singkat sebagai pengurus sementara, dan perkara itu telah diberitahu dengan jelas, saya berasa gembira dengannya," kata Van Nistelrooy kepada pemberita.

"Sukar menerima bahawa Erik terpaksa pergi. Saya sangat kecewa dengan keputusan itu. Tetapi anda perlu beralih kepada fokus untuk menang kerana 75,000 orang menanti dan meraikan serta jutaan lagi menonton di rumah", jelasnya lagi.

Meskipun sedar peranannya sekadar sementara, beliau merancang untuk kembali kepada peranan asal sebagai pembantu jurulatih selepas pengurus baharu kelab dilantik.

"Saya memutuskan untuk kembali ke sini atas sebab yang sangat penting. Saya datang sebagai pembantu jurulatih untuk membantu kelab dan saya masih bersemangat untuk melakukannya dalam apa jua kapasiti," ujarnya.

"Saya boleh bercakap mengenai masa depan saya selepas pengurus baharu dilantik", katanya.

Manchester United berakhir di kedudukan kelapan musim lalu dan walaupun berjaya menjulang Piala FA, empat kekalahan dalam sembilan perlawanan liga pertama musim ini, menyebabkan pasukan tersebut berada di tangga ke-14, dan membawa kepada pemecatan ten Hag.

Ketika ini, Manchester United sedang mengadakan perbincangan untuk mendapatkan pengurus Sporting Lisbon, Ruben Amorim yang menyatakan beliau tidak akan memberikan sebarang kata putus sehingga perlawanan pasukannya pada Jumaat.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD