GEORGETOWN, 1 November-Penang FC mencari ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Lembaga Pengarah Penang FC memaklumkan, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat 21 Oktober lepas.
Mesyuarat lembaga pengarah pasukan itu membuat keputusan untuk mencari jurulatih lebih berpengalaman dalam saingan Liga Super bagi meningkatkan prestasi serta persaingan pasukan.
Beberapa calon jurulatih utama telah dikenal pasti, dan perbincangan bagi memuktamad kontrak, bermula sejak 21 Oktober lalu.
Nama pengendali baharu yang akan mengemudi skuad Harimau Kumbang bakal diumum selepas kontrak dimuktamad tidak lama lagi.
Perkara itu telah dimaklumkan pihak kelab kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Berikutan keputusan itu, Penang FC kini akan dikendali Penolong Ketua Jurulatih Mat Saiful Mohamad, dibantu Pengarah Teknikal, Merzagua Abderrazak.
Terdahulu, status pengendali berusia 43 tahun itu menjadi tanda tanya sejak beberapa minggu lepas apabila terdapat khabar angin mengatakan khidmat beliau akan ditamatkan selepas skuad Harimau Kumbang gagal mempamerkan aksi memberangsangkan dalam beberapa perlawanan akhir-akhir ini.
Spekulasi itu dikuatkan lagi apabila kelibat beliau tidak kelihatan ketika Penang FC dibelasah 0-4 oleh Sabah FC di Stadium Bandaraya pada 25 Oktober lepas.
Kekalahan itu ialah yang ketiga berturut-turut dicatatkan Penang FC, dan selepas mengharungi 13 perlawanan, pasukan itu hanya menang dua kali, seri (lima) dan kalah (enam) sekali gus menjunam ke tangga ke-11 Liga Super apabila sekadar mengutip 11 mata.