fb fb fb fb fb

World Athletics dedah penemuan membimbangkan, penganiayaan dalam talian terhadap atlet

FOTO WORLD ATHLETICS

TOKYO, 1 November- Penganiayaan dalam talian terhadap atlet, termasuk serangan berunsur perkauman dan seksual terus menjadi isu utama, menurut World Athletics dalam laporan hasil kajian yang dijalankan semasa Sukan Olimpik Paris, lapor Agensi Berita Kyodo.

“Perkauman (18 peratus) dan penderaan berunsur seksual (30 peratus) kekal sebagai isu terbesar, merangkumi lebih 48 peratus daripada jumlah penganiayaan yang dikesan, manakala penganiayaan umum mencatatkan 32 peratus,” kata badan induk olahraga dunia itu dalam kenyataan media.

Dalam kajian keempat seumpamanya, seramai 1,917 atlet dengan sekurang-kurangnya satu akaun aktif dipantau bagi penganiayaan dalam talian sepanjang Sukan Paris merentasi empat platform media sosial- 12 kali ganda saiz sampel yang digunakan semasa Sukan Olimpik Tokyo pada 2021.

Penyelidikan itu dijalankan dengan kerjasama Signify Group menggunakan perkhidmatan Threat Matrix yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan, menurut World Athletics.

Sebanyak 809 kiriman disahkan bersifat penganiayaan, dengan 128 daripadanya dilaporkan kepada platform berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Bukan satu rahsia lagi bahawa penyalahgunaan media sosial terhadap atlet boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mental dan prestasi mereka.

“Ramai atlet komited untuk memajukan sukan olahraga melalui kehadiran dalam talian mereka, tetapi mereka perlu dapat melakukannya dalam persekitaran yang selamat.

“Kami berbangga dengan ramai atlet kami yang menggunakan platform mereka untuk meningkatkan kesedaran tentang isu penting, termasuk menyuarakan tentang penganiayaan dalam talian dan kesannya terhadap kesihatan mental,” kata Presiden World Athletics, Sebastian Coe.- BERNAMA-KYODO

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE