fb fb fb fb fb

Lagu Negaraku bergema! Rangkuman kemenangan atlet negara meraih pingat di arena sukan

('Perry' maskot bagi temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022/FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Lagu Negaraku terus bergema di persada dunia. Kejayaan yang membanggakan dan mengharumkan nama negara apabila atlet kebangsaan berjaya mencapai sasaran pingat emas di pentas Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Momentum kejayaan bermula dengan sukan angkat berat yang menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia.

Jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan menceriakan kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Komanwel musim ini apabila mengungguli kategori 55 kilogram sekali gus menjadi pingat emas pertama Malaysia.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian angkat berat pada penyertaan Sukan Komanwel Gold Coast, Australia 2018 yang menyaksikan emas pertama hadir menerusi sukan tersebut.

Kem angkat berat terus membuktikan kemampuan apabila menghadiahkan pingat emas kedua menerusi Muhamad Aznil Bidin selepas muncul juara kategori 61 kilogram.

Misi memburu enam pingat emas diteruskan kontinjen Malaysia di Birmingham dan kali ini giliran kem badminton menghadiahkan pingat emas ketiga menerusi acara berpasukan campuran selepas menewaskan India 3-1.

Lebih membanggakan kejayaan itu sekali gus berjaya menebus kekalahan pada aksi final temasya di Gold Coast empat tahun lalu.

Pada Jumaat lalu, Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menepati ramalan apabila menghadiahkan pingat emas keempat menerusi kategori lightweight bawah 72 kilogram.

Kejayaan itu menyaksikan Bonnie muncul atlet Malaysia pertama meraih emas dalam acara berkenaan pada Sukan Komanwel.

(Atlet angkat berat, judo, para olahraga, powerlifting, para ping pong
selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
selepas mempamerkan aksi cemerlang di Birmingham, England/FOTO BERNAMA)

Lagu Negaraku terus bergema apabila atlet gimnastik negara, Ng Joe Ee merangkul dua pingat emas hari ini.

Penampilan sulung Joe Ee yang berusia 16 tahun itu ternyata membanggakan seluruh Keluarga Malaysia apabila Joe Ee menyumbang emas menerusi disiplin bola dan riben selepas merekodkan masing-masing 29.700 dan 27.800 mata dalam aksi akhir di Arena Birmingham itu.

Dua emas itu membantu kontinjen negara mencapai sasaran enam pingat emas di Sukan Komanwel kali ini.

(Gimnas negara, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan bersama pingat dimenangi mereka
pada hari terakhir gimnastik berirama di Sukan Komanwel/FOTO BERNAMA)

Pelari pecut negara cipta sensasi di bumi Colombia

Ketika tumpuan terarah pada Sukan Komanwel, atlet olahraga Muhammad Azeem berjaya mencuri tumpuan susulan kejayaannya melebur rekod kebangsaan 100 meter pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia.

Beliau mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara tersebut dengan catatan 10.09 saat sekali gus melebur catatan 10.18 saat milik Khairul Hafiz Jantan pada 2016.

(Pelari pecut kebangsaan Muhammad Azeem berjaya mencatat rekod baru 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s)

AUG: Kontinjen negara 'mengaum' di bumi Siam

Sementara itu di Thailand, misi Malaysia untuk meraih 35 pingat emas pada Sukan Universiti ASEAN di Ubon Ratchathani, tercapai apabila berjaya merealisasikannya menerusi atlet taekwando Nurul Hidayah Abdul Karim yang mengungguli acara poomsae individu wanita di Kampus Ban Yang Noi.

Pelajar Universiti Malaya (UM) itu mengumpul 8.383 mata untuk mengetepikan pencabar dari Thailand, Thunsinee Mookda yang meraih perak, manakala gangsa untuk Ruhil Masri, Indonesia.

Pencapaian kontinjen Malaysia pada temasya tersebut boleh dianggap membanggakan kerana berupaya melepasi sasaran ditetapkan itu.

Kilauan emas skuad renang negara di Indonesia


Malaysia turut mencipta kecemerlangan pada kempen Sukan Para ASEAN di Solo, Indonesia.

Paling membanggakan apabila skuad renang para negara berupaya menghadiahkan enam pingat emas daripada lapan acara dipertandingkan.

Acara memanah juga tidak kurang hebatnya apabila atletnya G.Daneshen menghadiahkan dua emas acara berpasukan lelaki dan berpasukan campuran sekali gus memperbaiki pencapaian skuad memanah para pada Sukan Para ASEAN 2017.


Jaguh Paralimpik negara Datuk Abdul Latif Romly juga mempertahankan pingat emas acara lompat jauh lelaki F20, manakala rakan sepasukannya Zulkifly Abdullah meraih perak.

(Aksi atlet para renang negara Brenda Anellia Larry ketika acara renang 100m kuak dada wanita (SB4) pada temasya Sukan Para ASEAN 2022/FOTO BERNAMA)

Detik cemerlang sukan dua roda negara

Pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayudin cemerlang apabila berjaya mengekalkan kedudukan teratas selepas 3 perlumbaan pada Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Pelumba pasukan Yamaha Gen Blu Racing Team Asean itu berjaya meraih podium pertama bagi kategori 1000cc dalam dua daripada tiga perlumbaan berkenaan.

Laporan khas oleh wartawan Amirul Aizad Mohd Shafie.

Media Baharu