RAUB, 21 April - Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang dinaik taraf sebagai venue saingan Liga Super Malaysia melibatkan pasukan Sri Pahang FC akan siap sepenuhnya sebelum saingan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan ( NGO) negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata, stadium MPT dipilih menggantikan venue Stadium Darul Makmur yang dalam pembaikan dan penyelenggaran padang.
Menurutnya, Stadium Darul Makmur yang berusia lebih 50 tahun itu perlu dibaik pulih dengan kemudahan terkini dan moden selari dengan peranan sebagai venue bola sepak, olahraga dan perhimpunan khas di negeri ini.
"Andai kata padang Stadium Darul Makmur dibaik pulih untuk perlawanan bola sepak yang di sertai oleh Sri Pahang FC akan berlangsung di Temerloh. Dan kita akan bantu Sri Pahang FC daripada segi kemudahan kemudahan tertentu yang boleh disumbang oleh Stadium Darul Makmur, daripada segi peratusan saya belum dapat maklumat tetapi sudah siap sedia, cuma sedikit kerja-kerja akhir," kata Fadzli.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri Dong di Felda Lembah Klau di sini yang dihadiri 5,000 pengunjung.
Menurutnya, pemilihan Stadium Temerloh dalam Liga Super 2024 menepati kreteria yang diperlukan seperti kelulusan peratus pencahayaan, padang dan kemudahan sokongan.
"Tahap pencahayaan lampu limpah mencapai 100 peratus seperti yang ditetapkan mengikut standard oleh Liga Bola Sepak Malaysia. Meskipun kapasiti penonton sekitar 9,283 orang tetapi ia dijangka mampu menyediakan tempat yang selesa kepada penonton peminat tegar bola sepak dari Temerloh dan daerah sekitar. Bilik video bantuan pengadil (VAR) dan bilik produksi sudah mencapai lebih 93 peratus manakala tahap padang berada pada tahap lebih 95 peratus dan sedia digunakan, " katanya.
Menurutnya, Majlis Perbandaran Temerloh ( MPT) telah membelanjakan lebih RM150,000 untuk menaik taraf stadium itu yang menjadi gelanggang rasmi Sri Pahang dalam Liga Malaysia musim ini.