IPOH, 21 April - Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mahu mengatasi kelemahan di bahagian serangan pasukannya menjelang saingan Liga Super Mei depan.
Jelasnya, skuad The Bos Gaurus amat memerlukan penyerang import berkualiti yang dijangka menyertai pasukan itu minggu hadapan.
"Kita amat-amat memerlukan penyerang, kalau kita lihat dan saya rasa semua orang sedia maklum perkara tersebut dalam empat perlawanan walaupun kita menjaringkan gol cuma dengan Pulau Pinang FC sahaja, tetapi di setiap jaringan yang kita jaringkan kita masih lagi hilang sentuhan seorang penyerang. Jadi, perkara tersebut yang saya inginkan atau ingin terapkan lagi pada perlawanan terutama untuk perlawanan pertama di Kuala Terengganu nanti", katanya yang ditemui selepas aksi persahabatan Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak, pada Sabtu.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan tuan rumah tewas 2-3 kepada Selangor FC.