fb fb fb fb fb

Naik taraf Kompleks Sukan Labuan dijangka siap tahun depan

Hannah Yeoh diberi taklimat oleh Pengarah JKR Labuan, Ir. Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah /Foto JKR

LABUAN, 9 November - Kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan Kompleks Sukan Jabatan Belia dan Sukan Labuan bernilai RM20 juta, dijangka siap pada suku ketiga tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap projek tersebut dapat siap seperti jadual ditetapkan.

"Projek naik taraf di Labuan memerlukan masa dan banyak bahan datang dari semenanjung, cuma saya berharap mereka akan ikut jadual kerana saya tidak mahu ada apa-apa penanguhan dan kos yang akan meningkat.

"Saya tahu hasrat penduduk adalah untuk menggunakan fasiliti dengan secepat mungkin. Saya difahamkan bila dibuka nanti selalunya 1,000 hingga 2,000 orang gunakan balapan itu..jadi ini adalah satu keperluan asas untuk penduduk," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek menaiktaraf Kompleks Belia dan Sukan Labuan, hari ini.
 
Pada sesi lawatan itu, Hannah diberi taklimat mengenai perkembangan semasa pembinaan projek berkenaan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Labuan, Ir. Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah.

Terdahulu beliau berkesempatan bersama warga Labuan menjayakan pelbagai aktiviti di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan sempena program “Jom Gegar Labuan” dan penganjuran Sukan Rakyat Perpaduan.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Trainee