fb fb fb fb fb

Nafuzi Zain kini bersama KDA FC musim 2023

(Sidang media pengumuman pelantikan Nafuzi Zain sebagai Ketua Jurulatih baharu KDA FC)

ALOR SETAR, 6 Disember- Bekas pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain diumumkan sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan Liga Super Kedah Darul Aman, KDA FC bagi musim 2023.

Beliau mengikat kontrak selama dua tahun bersama KDA FC.

Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan spekulasi dan persoalan yang timbul khususnya di kalangan penyokong setia Hijau Kuning mengenai siapa jurulatih baharu pasukan itu bagi menggantikan Aidil Sharin Sahak.

Pelantikan Nafuzi diumumkan Pemilik Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar pada satu majlis di House Of Sang Kenari, Kompleks Alor Setar, tengah hari tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali dan Nafuzi.

Selain Nafuzi, KDA FC turut mengumumkan Victor Andrag sebagai Penolong Ketua Jurulatih; Mohd Yazid Mohd Yassin sebagai Jurulatih Penjaga gol dan dibantu Abdul Hadi Abdul Hamid; Jurulatih Kecergasan dari Brazil, Antonio Silvio Santos Concalves; dan Fisioterapi juga dari Brazil, Helber Richard Quintana Silva.

Menurut Tan Sri Dr Mohd Daud, pemilihan pengendali berusia 44 tahun itu dibuat berdasarkan kemampuan, kepakaran dan kemahiran yang dimiliki jurulatih kelahiran Kelantan itu.

Ia termasuk membantu TFC muncul Naib Juara Liga Super 2022 sekaligus mengesahkan slot TFC ke Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023.

"KDA FC juga telah menandatangani kontrak baru dengan beberapa pemain tempatan dan Antarabangsa. Kita juga sedang dalam peringkat akhir mendapatkan perkhidmatan beberapa pemain tempatan dan Antarabangsa. Jumlah keseluruhan pemain adalah 25 orang. Nama-nama mereka hanya akan diumumkan di masa hadapan.." Katanya.

Sementara itu, Nafuzi menzahirkan rasa gembira dan teruja kerana KDA FC memberi peluang dan kepercayaan kepadanya untuk menabur bakti bersama pasukan itu.

Beliau kini mahu memberi fokus untuk membentuk semula pasukan KDA FC yang kini dibarisi ramai pemain muda berbakat dan berpotensi.


(FOTO FB Kedah Darul Aman FC )

Media Baharu