MADRID, 15 Februari- Pemain tenis veteran Sepanyol, Rafael Nadal terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka Qatar, minggu depan.
Keputusan itu dilakukan susulan Nadal masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Otot pemain berusia 37 tahun itu terkoyak ketika menyertai saingan di Brisbane, bulan lepas.
"Ia akan menjadi sangat sukar untuk misi di Doha. Saya mengalami sedikit ketidakselesaan pada otot beberapa minggu kebelakangan ini," kata Nadal dalam temu bual dengan televisyen La Sexta yang disiarkan pada Rabu.
Nadal dijangka kembali beraksi dalam kejohanan ATP Doha pada 19 Februari ini selepas nama beliau muncul dalam senarai penyertaan.
Juara 22 kali gelaran Grand Slam itu juga berharap mampu beraksi dalam perlawanan pertunjukan berdepan jaguh senegara, Carlos Alcaraz di Las Vegas pada 3 Mac, sebelum menyertai saingan utama Indian Wells beberapa hari kemudian.
Situasi yang dihadapi bintang tenis dunia itu adalah bukan kali pertama terjadi, malah sering dilanda masalah kecederaan.
Nadal mengalami kecederaan pinggul pada awal Januari tahun lalu di Terbuka Australia yang memaksanya, berehat selama setahun.- AFP