fb fb fb fb fb

Munoz raih trofi pertama bersama JDT, akui banyak perlu diperbaiki

Ketua Jurulatih baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz/Foto JDT

JOHOR BAHRU, 9 Ogos – Ketua Jurulatih baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, akui masih banyak aspek perlu diperbaiki meskipun meraih trofi pertama bersama pasukan selepas menjuarai Piala Sumbangsih 2025.

Menurutnya, antara tumpuan utama adalah memperkemaskan gerakan serangan termasuk situasi sepakan sudut, selain mengekalkan kualiti permainan di setiap perlawanan.

“Saya sangat gembira tetapi kami perlu meneruskan kerja keras. Saya seorang yang bercita-cita tinggi terutama dengan barisan pemain yang ada ini.

"Skuad ini sangat bagus dan dibarisi pemain-pemain berkualiti. Kami perlu menampilkan permainan terbaik dan setiap hari perlu bekerja keras untuk mencapai tahap itu,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Pemain terbaik perlawanan, Ariff Aiman Hanapi, berkata beliau kini sedang menyesuaikan diri dengan corak permainan yang dibawa Xisco sambil membina keserasian bersama rakan sepasukan baharu.

“Setiap sesi latihan ada perincian yang perlu diberi perhatian. Ia amat penting untuk pasukan dan pemain faham kerana setiap perlawanan berbeza situasinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor FC, Kinoshi Katsuhito, akui kehilangan fokus seawal minit pertama menjadi punca pasukannya dibolosi, sekali gus memberi kelebihan kepada lawan.

“Kami hilang fokus seawal minit pertama dan kedua, seterusnya dihukum dengan gol. Jika perkara ini berterusan, sukar untuk kami meraih kemenangan.

"Johor memang pasukan yang bagus dan mereka memanfaatkan peluang ketika kami kehilangan tumpuan,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN