fb fb fb fb fb

Jurulatih Barca, Flick digantung perlawanan pertama Liga Juara-Juara

Pengendali Barcelona, Hansi Flick dan pembantunya, Marcus Sorg masing-masing didenda 20,000 euro (AS$23,320) serta digantung satu perlawanan atas kesalahan salah laku / Foto AFP

BARCELONA, 9 Ogos – Pengendali Barcelona, Hansi Flick dan pembantunya, Marcus Sorg masing-masing didenda 20,000 euro (AS$23,320) serta digantung satu perlawanan dalam pertandingan kelab anjuran Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) atas kesalahan salah laku.

Jawatankuasa tatatertib UEFA dalam kenyataannya pada Jumaat memaklumkan, hukuman itu dikenakan susulan insiden pada perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Inter Milan pada Mei lalu.

Pada aksi tersebut, Flick dilaporkan berang terhadap beberapa keputusan pengadil ketika pasukannya tewas 4-3, sekali gus menafikan peluang mereka mara ke final buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.

0908 SKN LNR BARCA COACH BANNED 2Hansi Flick / Foto AFP

Hukuman berkenaan akan berkuat kuasa serta-merta, menyebabkan kedua-dua jurulatih itu tidak dibenarkan berada di kawasan teknikal pada perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara musim ini.

Dalam keputusan berasingan, UEFA turut mengenakan denda 5,000 euro setiap seorang terhadap penyerang Barcelona, Lamine Yamal dan Robert Lewandowski kerana gagal mematuhi arahan pegawai kawalan anti-doping serta tidak segera melapor diri ke pusat kawalan pada perlawanan sama.

Selain itu, Barcelona juga didenda 5,250 euro berikutan tindakan penyokongnya membaling objek dan 2,500 euro lagi kerana menyalakan bunga api semasa perlawanan tersebut.

Sementara itu, Inter dikenakan denda 22,000 euro selepas penyokong mereka didapati menghalang laluan awam, serta tambahan 11,500 euro kerana menyalakan bunga api. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN