KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Lebih 4,000 peserta termasuk wakil negara ASEAN menyertai Jelajah Kayuhan Solidariti ASEAN 2025 yang berlangsung di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini.
Program julung kali diadakan sempena kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini itu menampilkan acara berbasikal dan larian, bertujuan bukan sahaja membudayakan gaya hidup sihat, malah memperkukuh hubungan serantau di bawah payung ASEAN.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata Terengganu dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana negeri itu mempunyai reputasi cemerlang dalam acara berbasikal dan melahirkan ramai atlet berkualiti tinggi.
Jelajah Kayuhan Solidariti ASEAN 2025 berlangsung di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu / Foto Bernama
“Program sebegini bukan sahaja untuk terus membudayakan dan menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi juga memperkasakan hubungan serantau di bawah payung ASEAN.
"Delegasi hampir semua negara ASEAN hadir hari ini dan ini adalah tanda bahawa sukan menjadi penyatu padu, bukan sahaja untuk masyarakat Malaysia tetapi juga hubungan serantau,” katanya selepas melepaskan peserta kayuhan di Dataran Batu Buruk, di sini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr Nagulendaran Kangayatkarasu.
Kayuhan berbasikal sejauh 30 kilometer itu membawa peserta mengelilingi bandar raya Kuala Terengganu, manakala peserta larian santai menamatkan jarak lima kilometer dan fun walk sejauh tiga kilometer.
Selain itu, pelbagai pameran agensi kerajaan dan aktiviti interaktif turut diadakan bagi menyemarakkan semangat perpaduan serantau.
Seramai 16 delegasi dari enam negara ASEAN – Brunei, Thailand, Kemboja, Vietnam, Indonesia dan Myanmar, turut mengambil bahagian dalam acara yang bertujuan memperkukuh semangat perpaduan serantau melalui platform sukan dan rekreasi.