PUTRAJAYA, 29 November- Jaguh angkat berat Muhammad Erry Hidayat dan gimnas Ng Joe Ee masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan pada Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2021/2022 yang berlangsung di Putrajaya.
Kedua-dua atlet itu masing-masing membawa pulang piala pusingan, hadiah wang tunai RM8,000 serta tajaan barangan sukan bernilai RM1,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Muhammad Erry, mengetepikan saingan sengit iaitu atlet renang Steve Khiew dan jaguh karate S. Prem Kumar.
Badang negara itu, yang juga anak kepada bekas jaguh angkat berat Hidayat Hamidun, melakar kejayaan cemerlang apabila antaranya merangkul pingat perak Kejohanan Angkat Berat Asia 2021 dan pingat perak Sukan Komanwel 2022 Birmingham.
Beliau turut meraih pingat gangsa Sukan SEA 2021 di Vietnam dan memperbaharui rekod kebangsaan dengan angkatan 310 kilogram (kg) bagi kategori 73kg.
Kejayaan Muhammad Erry yang turut dinobatkan sebagai Olahragawan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2022 pada Julai lepas menjadikan beliau atlet angkat berat pertama merangkul gelaran Olahragawan Wilayah Persekutuan sejak ia dianjurkan pada 2007.
Joe Ee pula dinobatkan sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan mengatasi dua penerjun Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur berusia 18 tahun itu menampilkan aksi cemerlang sepanjang 2022 apabila merangkul dua pingat emas dalam disiplin bola dan riben pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham serta memenangi gelaran Olahragawati Kebangsaan 2022.
Anugerah Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan pula masing-masing dimenangi atlet silat Muhammad Khairi Adib Azhar serta Ain Najwa Muhamad Basri Darul yang membawa pulang piala iringan, wang tunai RM5,000 dan juga tajaan barangan sukan bernilai RM1,000.
Sementara itu, Anugerah Khas disampaikan kepada pemain badminton beregu lelaki, Soh Wooi Yik susulan pencapaiannya memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020.