MANCHESTER, 29 November- Bintang Manchester City, Erling Haaland menjadi pemain terpantas menjaringkan 40 gol dalam aksi Liga Juara-Juara selepas pasukannya berjaya bangkit daripada ketinggalan 2-0, untuk menang 3-2 ke atas RB Leipzig, dalam perlawanan awal pagi tadi.
Juara bertahan itu berdepan detik kekalahan pertama mereka di Etihad sejak tahun 2018, selepas penyerang Lois Openda menyumbat dua gol pada separuh masa pertama, masing-masing pada minit ke-12 dan minit ke-30.
Haaland mengurangkan tekanan pasukan, menjaringkan gol sulung City sebelum jaringan Phil Foden dan Julian Alvarez untuk memperoleh tempat teratas Kumpulan G.
“Pada separuh masa pertama, ia adalah yang paling teruk pernah saya lihat."
"Keluar pada separuh masa kedua, bermain dengan lebih baik dan mengubah permainan. Pasukan ini mempunyai mentaliti yang hebat untuk itu,” akui Foden.
City kini telah memenangi 27 daripada 29 perlawanan terakhir Liga Juara-Juara di tempat sendiri sejak kali terakhir mereka merasai kekalahan.
Leipzig kekal menjadi mangsa sama selepas dibenam 7-0 pada lawatan terakhir mereka di Etihad, Mac lalu.
Pengendali The Citizens, Pep Guardiola bagaimanapun berbangga dengan tindak balas pantas anak buahnya, terhindar daripada kekalahan yang memalukan di laman sendiri.
"Kami bolos terlalu banyak secara pertahanan. Anda perlu memenangi pertarungan anda."
"Kami bertindak balas dengan sangat baik pada separuh masa kedua dan ya, kami berada di tempat pertama dalam kumpulan. Jadi, sangat berpuas hati dengan reaksi itu," kata Guardiola.
Tambah Guardiola, kemasukan pemain gantian Nathan Ake, Jeremy Doku dan Julian Alvarez memberi sentuhan penting kepada City untuk mencapai kemenangan mutlak.
Leipzig telah pun mengesahkan tempat mereka dalam pusingan 16 terakhir tetapi berisiko berdepan Barcelona atau Real Madrid di peringkat kalah mati.- AFP