KUALA LUMPUR, 27 Januari - Buat pertama kalinya, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM menerima hak eksklusif penyiaran bagi kedua-dua temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (APG) Kemboja.
Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) telah memberikan hak eksklusif penyiaran kepada badan-badan penyiaran utama dalam negara.
Ia termasuk hak televisyen bagi siaran percuma dan televisyen berbayar, hak internet dan media baharu IPTV dan OTT, serta hak media sampingan termasuk hak audio.
“Usaha yang diambil MPM bukan hanya akan memberi manfaat kepada pergerakan sukan dalam negara, bahkan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa negara sentiasa prihatin pada pembangunan sukan dan cita rasa peminat sukan.
“Melalui siaran secara langsung atau sebaliknya, peminat sukan dapat mengikuti perkembangan wira dan wirawati negara bersaing di medan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Sebanyak 37 jenis sukan akan dianjurkan pada Sukan SEA ke-32 yang berlangsung bermula 5 hingga 17 Mei akan datang.
Sementara APG ke-12 akan menyaksikan penganjuran 13 jenis sukan dari 3 hingga 9 Jun.
Kedua-dua temasya ini melibatkan 10 negara ASEAN dan Timor Leste yang akan diadakan di Phnom Penh.