fb fb fb fb fb

MPM nafi gantung atlet, tegas amal tadbir urus telus

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dalam satu sidang media pada 18 September 2025/Arkib BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 September – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menafikan dakwaan penggantungan seumur hidup terhadap seorang atlet para badminton, sambil menegaskan bahawa tiada tindakan sedemikian diambil setakat ini.

Penjelasan itu susulan dakwaan tular di media sosial dan beberapa portal, yang disifatkan sebagai tidak berasas.

MPM memaklumkan bahawa sebarang tindakan terhadap atlet hanya boleh diambil selepas siasatan dalaman dijalankan berdasarkan prosedur bertulis.

Kenyataan itu hadir selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyentuh isu tadbir urus dan insentif atlet para dalam satu persidangan kebangsaan, 18 September lalu.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, turut memberi jaminan bahawa badan itu kekal komited terhadap integriti dan mematuhi Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang ditandatangani bersama 23 persatuan sukan para kebangsaan.

Berkait isu penajaan dan insentif, MPM menjelaskan bahawa kerjasama telah dijalinkan dengan pelbagai penaja sejak 2019. Namun, sebarang perubahan seperti penarikan tajaan akan dimaklumkan secara telus.

MPM turut menegaskan bahawa sebarang kenyataan awam oleh atlet perlu dibuat mengikut saluran dan prosedur yang betul, tanpa menyebarkan maklumat tidak sahih.

MPM mengucapkan terima kasih atas sokongan dan pandangan rakyat, namun mengingatkan bahawa kritikan mesti bebas daripada unsur fitnah dan perkauman.

MPM juga menghargai kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang berkongsi template penajaan Road To Gold sebagai rujukan tambahan dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan para negara.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN