ISTANBUL, 25 Februari-Galatasaray mendakwa pengurus Fenerbahce, Jose Mourinho, membuat "kenyataan rasis" selepas perlawanan seri 0-0 antara kedua-dua seteru ketat Turkiye itu.
Menurut laporan, Mourinho dilaporkan berkata bahawa bangku simpanan pasukan tuan rumah seolah-olah "melompat seperti monyet" pada perlawanan berkenaan.
Dia juga sekali lagi mengkritik mutu pengadilan pengadil Turkiye.
Perlawanan tersebut dikendalikan oleh Slavko Vincic dari Slovenia, yang dikatakan dilantik selepas kedua-dua kelab meminta pengadil luar mengadili perlawanan berprofil tinggi itu.
Dalam kenyataannya, Galatasaray menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mourinho yang berusia 62 tahun itu.
"Sejak memulakan tugasnya sebagai pengurus di Turkiye, Jose Mourinho secara berterusan mengeluarkan kenyataan menghina terhadap rakyat Turki," kata kelab itu.
"Hari ini, ucapannya bukan lagi sekadar komen tidak bermoral tetapi telah melampaui batas perikemanusiaan.
"Dengan ini, kami secara rasmi mengumumkan niat kami untuk memulakan prosiding jenayah berhubung kenyataan rasis yang dibuat oleh Jose Mourinho dan akan mengemukakan aduan rasmi kepada UEFA serta FIFA.
"Selain itu, kami akan memerhati dengan teliti pendirian Fenerbahce, sebuah kelab yang mendakwa menjunjung 'nilai moral yang terpuji' terhadap tindakan tidak bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh pengurus mereka."
Setakat ini, Fenerbahce yang berada di tempat kedua dalam Liga Super Turkiye, enam mata di belakang Galatasaray, masih belum memberi sebarang komen.-AFP.