fb fb fb fb fb

Aaliyah Yoong buru kejuaraan di Kejohanan Dunia Universiti IWWF

Ratu ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah

KUALA LUMPUR, 25 Februari- Ratu ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, bersedia membuka tirai musim 2025 dengan menyasarkan podium di Kejohanan Dunia Universiti IWWF di Auckland, New Zealand, minggu ini.

Aaliyah, yang juga penerima biasiswa dan duta Yayasan Sime Darby, kembali beraksi selepas berehat lima bulan bagi memberi tumpuan kepada pengajian dan peperiksaan tahun kedua di Florida Southern College.

Namun, gadis manis 21 tahun itu tetap meneruskan latihan sepanjang tempoh tersebut.

"Latihan berjalan lancar walaupun tanpa pertandingan. Saya berasa bertenaga dan tidak sabar untuk bersaing," kata Aaliyah.

"Sasaran saya adalah podium dalam acara lompatan, tricks dan keseluruhan. Jika berjaya meraih emas, itu akan jadi satu bonus," tambahnya.

Kali terakhir Aaliyah meraih podium di peringkat dunia adalah tempat ketiga dalam acara tricks wanita di Sukan Dunia 2022 di Alabama, Amerika Syarikat, dan tempat ketiga acara lompatan wanita di Kejohanan Dunia Bawah 21 Tahun 2023 di Chapala, Mexico.

Beliau kini memegang rekod peribadi (PB) 8,450 dalam acara tricks, yang juga rekod Asia, serta PB 48.3m dalam acara lompatan dan 4.5/12/55 dalam slalom.

Seramai 78 atlet dari 18 negara akan bersaing dalam kejohanan kali ini.

Latihan rasmi bermula semalam, manakala pusingan awal berlangsung dari Rabu, 26 Februari hingga Jumaat, 28 Februari. Pusingan akhir dijadualkan pada Sabtu, 1 Mac dan Ahad, 2 Mac.

Kejohanan berlangsung di Tasik Orakei Basin, Auckland.

Ketua jurulatih Persekutuan Ski Air & Wakeboard Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong, berkata tahun 2025 penting buat sukan ski air dengan penyertaan di Sukan SEA Thailand pada Disember ini dan Sukan SEA 2027 di Malaysia.

"MWWF telah merangka program latihan dan pertandingan bagi mempersiapkan atlet negara. Aaliyah mewakili negara di Kejohanan Dunia Universiti, manakala lebih ramai atlet akan dihantar ke Kejohanan Asia di Bangkok pada Jun serta Kejohanan Dunia di Recetto, Itali pada Ogos ini," kata Hanifah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE