SEPANG 13 Oktober - Orang ramai yang berhasrat menyaksikan Petronas Grand Prix (GP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 24 hingga 26 Oktober ini disarankan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, terutamanya pada hari terakhir perlumbaan.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shariat, berkata tarikh berkenaan dijangka menjadi hari paling sibuk kerana perlumbaan penutup GP Malaysia bakal bertembung dengan hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN 2025 terutama pada 26 Oktober.
Selain itu, ia turut melibatkan ketibaan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
"Seperti yang diumumkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), beberapa lencongan jalan akan dibuat berkala mengikut ketibaan pemimpin negara berkenaan. Jadualnya kita belum terima.
"Jadi saya memohon agar pengunjung ke MotoGP merancang perjalanan masing masing dan di galakkan menggunakan pengangkutan awam sama ada keretapi atau pun bas yang di sediakan", katanya kepada pemberita selepas taklimat trafik dan keselamatan sempenaperlumbaan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai kira-kira 450 anggota polis akan bertugas sepanjang penganjuran GP Malaysia kali ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata,pihaknya mensasarkan kehadiran rekod 200,000 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan, dengan kira-kira 85 peratus tiket pun terjual.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan ulang-alik(shuttle) yang disediakan untuk ke litar.
SIC akan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik bagi membawa penontondari lokasi pengambilan dan penurunan yang ditetapkan serta kawasan parkir ke litar.
Selain itu, Rapid Bus turut akan menyediakan perkhidmatan bas dari KualaLumpur City Centre (KLCC), Pasar Seni dan KLIA2 ke litar serta perjalanan pulang.
Beliau turut memaklumkan caj parkir mengikut kemasukan akan diperkenalkan tahun ini iaitu RM10 untuk motosikal dan RM20 untuk kereta dan bagi menampung peningkatan kos penganjuran acara itu.