MADRID, 13 Oktober – Juara dunia tujuh kali MotoGP, Marc Marquez selamat menjalani pembedahan pada bahu kanannya, menurut pasukan Ducati pada Isnin.
Pelumba Sepanyol berusia 32 tahun itu, yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara dunia buat kali ketujuh di Jepun bulan lalu, mengalami patah tulang dan kecederaan ligamen dalam insiden di Litar Mandalika, Indonesia.
“Marc Marquez telah menjalani pembedahan berjaya di Hospital Ruber Internacional, Madrid, Sepanyol,” menurut Ducati dalam kenyataan rasmi.
“Bagi mengelak risiko ketidakstabilan kekal, pembedahan dilakukan bagi menstabilkan semula kawasan terjejas serta membaiki ligamen akromioklavikular,” jelas kenyataan itu lagi.
Marquez sebelum ini telah disahkan tidak akan menyertai perlumbaan di Australia dan Malaysia bulan ini.
Pelumba ujian Ducati, Michele Pirro, bakal menggantikan Marquez bagi aksi GP Australia hujung minggu ini.
Marquez mempunyai sejarah panjang dengan kecederaan, termasuk patah tangan kanan pada awal musim 2020, insiden yang hampir memaksa beliau bersara daripada sukan permotoran. - AFP